1 Disember 2016 - 13:51
Jenayah Kebencian Meningkat Di UK Sejak Brexit.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh Institut Hubungan Antara Kaum menunjukkan bahawa kadar jenayah kebencian di UK telah meningkat setelah Britain mengambil keputusan untuk meninggalkan blok Kesatuan Eropah (EU)

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Sebuah kajian yang dilakukan oleh Institut Hubungan Antara Kaum menunjukkan bahawa kadar jenayah kebencian di UK telah meningkat setelah Britain mengambil keputusan untuk meninggalkan blok Kesatuan Eropah (EU).

Kesimpulan kajian tersebut yang diterbitkan pada hari Khamis menunjukkan bahawa 134 insiden perkauman dilaporkan berlaku di dalam bulan pertama setelah referendum Brexit dilancarkan pada 23 Jun lepas. Di dalam referendum itu, hampir 52 peratus rakyat Britain memilih untuk meninggalkan EU dengan harapan perkara itu mampu memperkuatkan kawalan mereka ke atas sempadan negara itu. Mereka juga berharap untuk memperolehi kebebasan yang lebih besar di dalam menentukan hala tuju ekonomi negara itu dengan meninggalkan pakatan tersebut.

Analisis daripada Institut Hubungan Antara Kaum juga menunjukkan bahawa 51 daripada 134 insiden yang dilaporkan mempunyai kaitan langsung dengan referendum tersebut ataupun sekurang-kurangnya mengandungi mesej yang merujuk kepada retorik-retorik yang digunakan di sepanjang kempen Brexit.

"Pulanglah ke tempat asal kamu! Kami telah mengundi kamu keluar. Kamu harus meninggalkan negara ini tidak lama lagi," kata seorang lelaki British kepada seorang wanita dari Eropah Timur seperti yang dinukilkan oleh laporan itu.

Sebahagian daripada mangsa berasal dari negara-negara EU ataupun mereka yang menyokong supaya Britain kekal di dalam blok tersebut.

30 daripada insiden itu pula melibatkan mangsa yang beragama Islam sekaligus menjadikan mereka sebagai golongan yang terbesar di dalam statistik tersebut.

Institut itu menyalahkan polisi-polisi kerajaan Britain berkaitan isu imigresen sebagai punca peningkatan jenayah berasaskan kebencian di negara tersebut.

"Dengan kata mudah, jikalau suasana persengketaan wujud di dalam lapangan politik, kenapa kita perlu terkejut bahawa perkara ini akan berakar umbi di dalam kebudayaan masyarakat?" baca laporan itu.